Sunday, June 15, 2014

Adaptasi Novel: Perempuan Lindungan Kaabah


Sinopsis: Hanan merupakan seorang ustazah dan sering digelar perempuan lindungan Kaabah oleh orang sekelilingya. Setelah kematian ibunya Hanan tinggal bersama keluarga Datin Zaleha. Ibu Hanan pernah bekerja sebagai orang gaji di rumah Datin Zaleha. Di rumah itu, Hanan lebih rapat dengan Amir berbanding Fareez, anak Datin Zaleha. Amir dan Fareez merupakan sepupu. Dalam diam, Amir menyimpan perasaan terhadap Hanan. Perkenalan secara tidak sengaja di antara Hanan dan Alex membuatkan Hanan keliru, sama ada dia sukakan Alex ataupun tidak. Alex, seorang jejaka yang berminat dengan Islam dan meminta Hanan untuk membimbingnya.

Permintaan Datin Zaleha untuk menyatukan Hanan dan Fareez membuatkan Hanan berada dalam dilema. Hanan keliru untuk memilih Alex ataupun Fareez. Akhirnya Hanan memilih Fareez kerana mengenangkan jasa Datin Zaleha menjaganya dan Hanan juga berharap dapat membawa Fareez pulang ke pangkal jalan. Hanan dan Fareez akhirnya berkahwin.

Sinopsis Belakang Novel: PEREMPUAN LINDUNGAN KAABAH. Itulah gelaran yang diberikan oleh orang di sekelilingnya kepada Hanan disebabkan sikapnya yang sempurna sebagai seorang Muslimah yang solehah.

Kehadiran lelaki yang mendambakannya menjadi seorang isteri telah menyebabkan hati Hanan keliru untuk memilih di antara jasa dan rasa...

“Hanan, selama ini saya mengetahui Islam dengan lebih mendalam dari awak. Itupun melalui e-mel atau telefon. Setiap kali saya nak ajak awak keluar, awak selalu menolak. Awak tak sudi ke keluar dengan saya?”- Alex

“Hanan! Akan aku pendamkan sahaja cinta ini di dalam lubuk hatiku…”- Amir

“Mummy nak Reez kahwin dengan ustazah? Tiap-tiap hari dengan bertudung litupnya, sampaikan dalam rumah ni pun bertudung. Kalau Reez ajak dia pergi club atau karaoke ke, mummy rasa dia nak pergi tak?” - Fareez

Demi membalas budi, Hanan berkorban atas maksud dakwah. Hanan akhirnya memilih lelaki yang tak pernah difikirkan akan menjadi pasangan hidupnya. Tapi dengan sikap lelaki itu yang sering sahaja mengabaikan perintah Tuhan serta kehadiran Sally sebagai teman wanita telah menguji bahtera yang dibina.

“Aku tak seksi... Dengan imej jubah dan tudung labuh ini terlalu janggal rasanya untuk aku berada dalam dunia Abang Fareez. Pasti aku ini bukan pilihannya, malah aku sendiri pun tidak pernah bermimpi untuk hidup bersamanya.” - Hanan

Demi mendapat reda Ilahi, Hanan cuba bertahan dan memenangi hati lelaki bergelar suami. Tapi... perlukah Hanan mengorbankan prinsip-prinsip hidupnya demi kebahagiaan yang dia sendiri tidak pasti? Di antara cinta kepada suami dan cinta kepada Ilahi, yang manakah harus diutamakan?

Telemovie adaptasi novel ini akan menggandingkan Sharnaaz Ahmad dan Diana Danielle sebagai watak utama. Telemovie Perempuan Lindungan Kaabah akan ditayangkan di saluran Astro.

Update: Telemovie ini telah pun ditayangkan di Astro First

 


(Kredit foto kepada Karya Seni & Google)

regards, xoxo

Adaptasi Novel: Jauh Dari Cinta



Sinopsis: Jauh Dari Cinta karya Adah Hamidah mengisahkan mengenai Nysa Sakinah yang menyimpan perasaan terhadap Aqil, seniornya di universiti. Nysa pernah meluahkan perasaan kepada Aqil tetapi ditolak kerana Aqil cintakan Sara Laily. Lamaran daripada kawan ayahnya membuatkan Nysa terpaksa akur dan yang lebih mengejutkan, Aqil merupakan lelaki yang akan disatukan dengannya.

Nysa dan Aqil akhirnya bertunang. Penemuan kad kecil berbentuk hati telah membongkar rahsia Aqil dan Sara Laily. Nysa meminta Aqil supaya tidak hadir pada malam pernikahan mereka. Takdir mengatasi segalanya, Nysa akhirnya disatukan dengan Aqil dan mereka bergelar suami isteri.

Perhubungan Nysa dan Aqil hanyalah sekadar abang dan adik sahaja. Kehadiran Hadif, Kamal dan Shaliza serta kepulangan semula Lily mengeruhkan lagi keadaan. Nysa akhirnya bertekad untuk menyatukan Aqil dan Lily semula demi kebahagian Aqil. Apa-apapun happy ending!

Drama Jauh Dari Cinta akan menemui penonton di Astro Prima mulai 16 Jun 2014, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 5 petang. Hafizul Kamal dan Anzalna akan menjadi watak utama dalam drama ni.


(Kredit foto kepada Karya Seni)

regards, xoxo

Tuesday, April 29, 2014

Adaptasi Novel: Setulus Janji

Sinopsis:
Ilham dan Insyirah merupakan adik beradik angkat. Insyirah menaruh hati kepada Ilham semenjak kecil lagi. Apabila meningkat dewasa, hubungan mereka menjadi renggang dan Insyirah mula rapat dengan Aiman, adik Ilham.


Setelah menamatkan pengajian di luar negara, Insyirah pulang semula ke Malaysia. Kurangnya perhatian serta sikap Aiman menyebabkan Insyirah jatuh hati semula kepada Ilham. Mereka akhirnya berkahwin. Dugaan mula melanda perkahwinan Ilham dan Insyirah kerana masing-masing cemburu dan berprasangka. Ilham menyangkakan Insyirah masih menyayangi Aiman manakala Insyirah pula menganggap Ilham masih teringatkan bekas tunangya, Juwita.

Kehadiran Rizuan dan kemalangan yang menimpa Aiman memburukkan lagi hubungan Ilham dan Insyirah. Mereka akhirnya membawa haluan masing-masing. Apa-apapun, happy ending.

Drama Setulus Janji akan ditayangkan di RTM. Azlee Khairi akan memegang watak Ilham manakala Fida Ibrahim akan memegang watak sebagai Insyirah.



Novelis Aina Emir bersama hero drama Setulus Janji, Azlee Khairi

(Kredit foto & info kepada FB Aina Emir Novelis)

p/s: Novel ni memang best!
regards, xoxo

Adaptasi Novel: Lembayung Kasih-Mu


Sinopsis Belakang Novel: Cinta itu anugerah yang terindah daripada ALLAH. ALLAH memberi kepada sesiapa yang DIA kehendaki. Maira mengenakan syarat kepada lelaki yang ingin mencintainya. Lelaki itu hendaklah mencintai ALLAH dan Rasul terlebih dahulu sebelum menyintai dirinya.

Dalam diam, Maira jatuh hati pada Fansuri. Namun dia sedar, dia hanyalah orang gaji. Untuk mengelakkan dia menjadi lebih gila dengan cinta rahsianya, Maira mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke London agar dapat melupakan Fansuri dan mencari lelaki yang sering bertandang dalam mimpinya sejak bertahun lamanya.

Fansuri kecewa setelah Maira pergi. Hatinya berkata, adakah dia terlambat untuk mengejar cintanya? Sedar akan kekurangan diri, dia bertekad mengejar cinta ALLAH dahulu sebelum mengejar cinta Maira.

Drama bersiri lakonan Fauziah Gous dan Shah Jaszle ini akan ditayangkan di RTM. Sama-sama kita nantikan.

Update: Drama ini ditayangkan bermula 5 Mei 2014 jam 9 malam di saluran RTM TV2.
Update 2: Drama ini boleh ditonton di myklik.


(Kredit sinopsis & foto kepada Alaf 21 & FB NHF Productions) 

regards, xoxo

Saturday, April 5, 2014

Adaptasi Novel: Rindu Awak 200%


Sinopsis Belakang Novel: Zill Faezrul Iqbal - Jiwa Armel Aisya jadi nanar apabila teringat nama ini. Bersifat tenang tapi bermulut celopar sungguh menjengkelkan hati Armel Aisya. Tapi, dia tak boleh banyak bunyi. Dia sendiri yang memilih lelaki itu untuk menjadi suaminya.

Ibarat minyak dengan air, mereka tak boleh bersatu. Akibatnya rumah tangga mereka tidak pernah aman! Penyudahnya Armel ke utara, Faezrul ke selatan. Namun, semakin Faezrul tidak peduli, semakin sakit hati Armel.

Misteri Faezrul yang kejap hilang kejap ada di rumah, menimbulkan tanda tanya di kepala Armel. Mustahil seorang lelaki kampung yang bekerja sebagai juruteknik mampu memiliki kereta Range Rover Evoque! Siapa lelaki ini? Mungkinkah dia suku sakat Jula Juli Bintang Tujuh?

Pelakon utama bagi drama bersiri ini adalah Zul Ariffin dan Ayda Jebat. Sama-sama kita nantikan drama ini di slot Akasia TV3. Jom baca bab terawal novel ni di blog Liyana Zahim


(Kredit sinopsis & foto kepada Alaf 21, FB Creative Skill Solution)

regards, xoxo

Adaptasi Novel: Kerana Terpaksa Aku Relakan


Sinopsis Belakang Novel: Angkara fitnah dan rancangan jahat emak dan kakak tiri, kehidupan bahagia Indah Halina musnah dengan sekelip mata. Dengan tiba-tiba dia menjadi gadis yang paling malang, sebatang kara dan tidak punya apa-apa.

Dalam kemelut kepayahan, rupanya Tuhan masih menyayanginya apabila dia mendapat perhatian dari seorang wanita kaya dan terhormat, Dato’ Safiya. Tanpa sebarang alasan, Indah Halina mendapat tempat teristimewa dalam hati wanita itu, lalu diberi kasih sayang dan kemewahan bagaikan anak sendiri.

Di rumah banglo itu, bermulanya kisah cinta dongeng di antara Indah Halina gadis kampung yang tidak punya apa-apa dengan Tajul Razin, si dia yang punya segalanya. Perhubungan yang mulanya dingin bertukar menjadi sangat indah apabila dalam hati penuh dengan bunga-bunga segar berbau harum.

“Kalau layan abang mengantuk, tapi kalau fasal kucing laju aje cakap. Dengan kucing boleh kata rindu, dengan abang tak kata pun?”- Tajul Razin

Dilema cinta bermula apabila adik si jejaka, Tajul Fahin juga menagih cinta pada gadis yang sama. Kemunculan semula bekas tunang Indah Halina dan si gadis serba sempurna Ilyana makin merumitkan keadaan. Sikap ayah dan pakatan musuh juga membuatkan Indah Halina tersepit untuk membuat keputusan yang terpaksa…

“Errr… Abang Zen, kalau Indah jadi adik perempuan abang selama-lamanya boleh, kan?” – Indah Halina

“Kenapa sebut adik perempuan aje? Tak ada impian jadi isteri Abang Zen ke? Abang selalu berangan-angan suatu hari nanti Indah akan jadi suri hidup. Tak sama ke angan kita?” – Tajul Razin

Drama adaptasi novel karya Umie Nadzimah ini akan menemui penonton di slot Akasia TV3. Izreen Azminda dan Amar Baharin akan menjadi pelakon utama bagi drama ini.


(Kredit sinopsis kepada Karya Seni)

regards, xoxo